fb fb fb fb fb

Pelepasan sisa ternakan babi disyaki punca pencemaran Sungai Kulim- JAS Kedah

Menerusi pemeriksaan lapangan yang dilakukan meliputi kawasan hulu sungai berjaya mengesan aliran air hitam dari Sungai Air Merah mengalir masuk ke Sungai Kulim.

KULIM, 18 Februari- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengesan berlakunya kegiatan melepaskan sisa ternakan babi disyaki dari ladang perkampungan Sungai Lembu, Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang yang menyebabkan pencemaran Sungai Kulim dan Sungai Air Merah.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan pencemaran itu Jumaat lalu, sebelum sepasukan penyiasat JAS cawangan Kulim digerakkan untuk mengesan punca kejadian.

Katanya, menerusi pemeriksaan lapangan yang dilakukan meliputi kawasan hulu sungai berjaya mengesan aliran air hitam dari Sungai Air Merah mengalir masuk ke Sungai Kulim.

"Pemantauan melalui drondijalankan di sepanjang Sungai Air Merah telah berjaya mengesan punca pelepasan air hitam tersebut.
 
"Pelepasan air hitam disyaki berpunca dari pelepasan efluen atau air sisa dari  aktiviti penternakan khinzir di perkampungan Sungai Lembu, Seberang Perai Tengah , Pulau Pinang ," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
 
Sharifah Zakiah berkata, pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan penternakan khinzir mendapati terdapat beberapa kolam yang melepaskan efluen ke Sungai Air Merah yang kemudiannya memasuki Sungai Kulim.
 
"Jarak antara kawasan penternakan ke pertemuan Sungai Air Merah-Sungai Kulim adalah kira-kira tiga kilometer. Untuk rekod, terdapat Loji Rawatan Air (LRA) Toh Allang di Sungai Kulim yang membekalkan air bagi Pulau Pinang dan loji ini terletak kira-kira tujuh kilometer dari pertemuan Sungai Kulim dan Sungai Air Merah.

"Hasil siasatan telah dimaklumkan kepada JAS Pulau Pinang untuk diambil tindakan oleh pihak berkuasa Pulau Pinang seperti Jabatan Veterinar Pulau Pinang dan Badan Kawal Selia Air Pulau Pinang," katanya.

Justeru, beliau meminta semua pihak tidak melakukan sebarang aktiviti yang mencemarkan sungai kerana ia boleh menyebabkan loji air ditutup dan menjejaskan bekalan air kepada penduduk.

ZEHRA BINTI ZAMBRI