KUALA LUMPUR, 5 Oktober - Kerajaan bercadang memperluas pelepasan cukai pendapatan individu RM3,000 ke atas perbelanjaan yuran pusat jagaan harian atau pusat transit berdaftar bagi anak berumur sehingga 12 tahun, mulai tahun taksiran 2026.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebelum ini, inisiatif tersebut hanya diberikan bagi yuran taman asuhan atau taman didikan kanak-kanak berumur sehingga 6 tahun sahaja.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan penyertaan wanita dalam kepimpinan korporat menunjukkan kemajuan membanggakan.
Setakat 1 Oktober lepas, 45% syarikat senaraian awam memenuhi 30% ahli lembaga pengarah wanita.
"Namun, masih terdapat lapan syarikat tiada ahli lembaga pengarah. Sehubungan itu, Suruhanjaya Sekuriti akan meningkatkan usaha penyertaan wanita dalam kepimpinan urus korporat." katanya.
Datuk Seri Anwar turut mengumumkan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menawarkan pembiayaan RM230 juta untuk tahun depan, menjadikan dana AIM yang tersedia berjumlah RM2.9 bilion untuk manfaat lebih 300,000 sahabat usahawan.
"Prestasi bayaran balik AIM amat cemerlang iaitu 99.97%" puji beliau.
Sementara itu, Bank Rakyat, BSN, MARA dan SME Bank menyediakan pembiayaan RM270 juta bagi menyokong usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) wanita.
Bagi membela nasib golongan 5,000 ibu tunggal miskin yang tertindas, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan menyediakan bantuan guaman bagi penyelesaian kes-kes mahkamah seperti perceraian dan hak penjagaan anak.