fb fb fb fb fb

Belanjawan 2026: Perkasa produk tempatan, komersialkan inovasi anak Malaysia

Langkah itu bertujuan meningkatkan pendedahan produk tempatan di pasaran domestik dan antarabangsa /FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Sejumlah RM20 juta diperuntukkan bagi memperkasakan Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia dan penandaan logo Buatan Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan, langkah ini bertujuan meningkatkan pendedahan produk tempatan di pasaran domestik dan antarabangsa.

“Kita gerakkan ikhtiar menyokong pembelian barangan ciptaan Malaysia.

"Inilah langkah bagi memastikan hasil penyelidikan dan inovasi anak tempatan tidak terhenti di makmal, tetapi benar-benar dipasarkan,” katanya pada pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, beliau mendedahkan kadar pengkomersialan syarikat terbitan universiti masih rendah.

Meskipun hampir 450 syarikat terbitan telah ditubuhkan oleh universiti awam, hanya sekitar 5 peratus yang berjaya menembusi pasaran.

Bagi menangani isu ini, kerajaan bersetuju menubuhkan Dana Nasional Syarikat Terbitan dengan suntikan awal RM10 juta.

"Dana ini akan digunakan untuk membantu syarikat terbitan universiti memasarkan produk penyelidikan ke peringkat komersial," jelasnya.

Dalam usaha mempercepatkan proses pengkomersialan, pensyarah universiti awam yang menjadi pengasas syarikat terbitan akan dibenarkan mengambil cuti penyelidikan atau pengecualian selama setahun.

Langkah ini dijangka memberi peluang kepada sekurang-kurangnya 50 pensyarah, di samping menarik pelaburan swasta diunjurkan sekurang-kurangnya RM30 juta.

Antara kejayaan penyelidikan tempatan yang diketengahkan termasuk pencapaian Universiti Sains Malaysia (USM) dalam membangunkan mesin dialisis buah pinggang mudah alih dan rawatan kanser lidah, serta inovasi Universiti Malaya (UM) dalam bidang rawatan kesuburan dan terapi biologi osteoartritis lutut.

Untuk menyokong aplikasi hasil ciptaan ini dalam sektor kesihatan, kerajaan turut menyediakan RM12 juta kepada beberapa Hospital Pengajar Universiti (HPU) terpilih bagi melaksanakan rawatan pemulihan pesakit secara bersasar menggunakan teknologi tempatan.

Pada masa sama, kerajaan juga akan menganjurkan Putrajaya Festival of Ideas sebagai pentas merakyatkan hasil penyelidikan dan inovasi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk dikomersialkan dan dimanfaatkan oleh komuniti.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN