fb fb fb fb fb

Belanjawan 2026 : Sabah, Sarawak terima peruntukan tertinggi

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan negeri Sabah dan Sarawak menerima peruntukan Persekutuan tertinggi menerusi Belanjawan 2026.

Beliau berkata peruntukan pembangunan negeri Sabah meningkat kepada RM6.9 bilion berbanding RM4.4 bilion pada 2022, manakala peruntukan kepada negeri Sarawak terus meningkat RM6 bilion berbanding RM2.9 bilion tahun sama.

Katanya, Kerajaan MADANI bertekad memastikan kepesatan pembangunan di Sabah dan Sarawak bagi menyemangati Perjanjian Malaysia 1963.

Menurut Datuk Seri Anwar, mulai tahun ini, kadar Pemberian Khas Sabah dan Sarawak ditingkatkan kepada RM600 juta, berbanding sebanyak RM300 juta pada 2023.

"Kendatipun kawal selia bekalan elektrik diserah sepenuhnya kepada Sabah Januari tahun lalu, Kerajaan Persekutuan tetap menyediakan RM1.2 bilion untuk menjamin kelangsungan bekalan.

"Insiden tanah runtuh di Penampang telah memutuskan dua talian utama penghantaran elektrik voltan tinggi, mengakibatkan gangguan bekalan kepada 230,000 pengguna pantai timur Sabah. Langkah segera diambil bagi memulih bekalan. Untuk kelangsungan jangka panjang, Kerajaan Persekutuan menyediakan pembiayaan RM765 juta bagi Projek Talian Penghantaran Southern Link.

"Sejak 2024, Kerajaan Persekutuan menyediakan pembiayaan RM1 bilion untuk projek air Sabah antaranya pemasangan paip di Tawau serta naik taraf paip usang di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan. Projek ini dalam fasa pelaksanaan dan dijangka siap tahun hadapan.

Sementara itu, pada tahun hadapan sebanyak RM1.67 bilion disediakan untuk Pan Borneo Sabah dilaksanakan mengikut jadual.

Beliau berkata sembilan pakej Pan Borneo Sarawak siap sepenuhnya dan telah dibuka untuk kegunaan rakyat dan empat pakej Pan Borneo Sabah Fasa 1A telah siap.

Datuk Seri Anwar turut memaklumkan, Sarawak-Sabah Link Road Fasa (SSLR) 1 dijangka siap pada November 2026, sementara SSLR 2 sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pertengahan 2029.

"Projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB) melengkapkan jalan perhubungan antara Sabah Sarawak. SST akan dikeluarkan seawal suku pertama 2026.

"Kerajaan akan menaik taraf struktur turapan jalan sedia ada bagi jajaran red line di seksyen Durin dan Salim, Sibu, Sarawak dengan kos RM350 juta", katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) di Dewan Rakyat. 

"Secara keseluruhan, kesemua projek prasarana rakyat ini melibatkan kos mencecah RM48 bilion.

Selain itu, untuk memastikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung menikmati manfaat digital yang sebaiknya, Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sepanjang 3,190 kilometer dengan kos sebanyak RM2 bilion.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia melibatkan laluan dasar laut dari Sedili di Johor, ke Kuching dan Sibu di Sarawak, seterusnya ke Tuaran, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau di Sabah.

Dalam pada itu, sebanyak RM20 juta disediakan untuk menambah tapak dan ruang niaga yang dilengkapi kemudahan asas kepada peniaga kecil Tamu Desa di Sabah dan Sarawak.

ROSLINA BINTI DIN