fb fb fb fb fb

Pelbagai platform wakaf, galak orang ramai berwakaf

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar

PUTRAJAYA, 8 Februari - Platform wakaf perlu dipelbagaikan bagi memudahkan masyarakat berwakaf dan meningkatkan dana, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau berkata masih ramai umat Islam yang tidak mengetahui kebaikan berwakaf dan kebaikan takaful sebagai skim perlindungan.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya dalam kalangan umat Islam untuk mengambil peluang untuk menggandakan pahala masing-masing. Dalam kaedah berwakaf ini tidak ramai umat islam yang mengambil skim takaful.

"Saya mengambil peluang ini untuk mengajak umat Islam semuanya untuk menjadikan skim takaful sebagai skim utama dalam perlindungan masing-masing," kata Na'im dalam sidang media Majlis Pelancaran Produk Wakaf Takaful Ajwad kerjasama strategik antara Yayasan Waqaf Malaysia dan Hong Leong MSIG Takaful Berhad, di sini.

Menerusi produk itu sebahagian daripada nilai wakaf akan disumbangkan ke Hong Leong MSIG Takaful bagi manfaat perlindungan.

Terdahulu, beliau turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Yayasan Waqaf Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan SPECTRE MD SDN BHD bagi program kerjasama agihan kebajikan dan kemanusiaan serta pembangunan ekosistem digital wakaf, Yayasan Waqaf Malaysia.

TETITIA YUSOFF