KUALA LUMPUR, 23 Oktober - Pelbagai langkah strategik sedang diusahakan bagi memastikan pelaksanaan Peraturan Penyahutanan EU (EUDR), tidak menjejaskan sektor agrikomoditi negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, usaha bersepadu sedang digerakkan untuk mengeluarkan Malaysia daripada kategori 'risiko standard' bawah peraturan berkenaan.
"Dengan mengambil pendekatan 'whole of government approach', Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Jun 2025 telah memutuskan supaya satu Jawatankuasa Khas di peringkat nasional ditubuhkan bagi menangani kesan pelaksanaan EUDR, pengklasifikasian Malaysia dalam kategori 'risiko standard' dan membincangkan tindakan susulan yang sewajarnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin di Dewan Rakyat.
Ia berhubung status perkembangan dan pencapaian Kementerian Perladangan dan Komoditi daripada mengeluarkan Malaysia daripada status 'risiko standard' bawah EUDR.
Menurut Datuk Seri Johari, susulan daripada keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri, satu Jawatankuasa Khas Pelaksanaan EUDR ditubuhkan; diterajui secara bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta kementerian dan agensi berkaitan.
Skop tugas jawatankuasa tersebut termasuk menyelaras isu pelaksanaan EUDR merentasi bidang kuasa kementerian, menilai ketepatan data hutan negara, serta memastikan semua kriteria yang ditetapkan oleh EU bagi penentuan status risiko negara dapat dipenuhi.
Mesyuarat pertama jawatankuasa berkenaan telah berlangsung pada 26 Jun lalu, dengan tumpuan kepada penyelarasan laporan data hutan, pematuhan undang-undang berkaitan hak asasi manusia termasuk komuniti pribumi, serta penekanan elemen kemampanan dalam rundingan perdagangan bebas.
Dalam pada itu Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mengadakan mesyuarat dua hala bersama Directorate-General for Environment (DG-ENV) EU pada 16 Julai 2025, bagi membincangkan perkembangan pelaksanaan EUDR serta semakan 'country benchmarking' yang akan diumumkan EU tahun hadapan.
Datuk Seri Johari memaklumkan bahawa pada 5 September lalu, delegasi diketuai EU Commissioner of the Environment, Water Resilience and a Competitive Circular Economy, Jessika Roswall, turut melawat Pulau Carey.
Ia bagi meninjau pelaksanaan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) dan Sistem Kebolehjejakan Nasional (SKN) untuk sektor sawit negara.
"Langkah-langkah yang dinyatakan ini akan terus dipergiatkan bagi memastikan eksport Sektor Agrikomoditi Negara tidak terjejas akibat pelaksanaan country benchmarking EUDR, sekali gus membolehkan perdagangan Sektor Agrikomoditi Negara kekal berdaya saing dalam menyumbang pertumbuhan ekonomi negara," katanya.