fb fb fb fb fb

2,000 kakitangan, anggota AKPS sedia bertugas pada Sidang Kemuncak ASEAN

Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain

KUALA LUMPUR, 23 Oktober - Seramai 2,000 kakitangan dan anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) kini bersiap siaga untuk bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya akan memainkan peranan untuk memudahkan pergerakan keluar masuk pemimpin tertinggi dan pegawai kerajaan delegasi negara luar bermula hari ini.

Cuti semua kakitangan dan anggota agensi turut dibekukan sehingga sidang kemuncak itu selesai sehingga 29 Oktober ini.

"Dengan pengambilan anggota AKPS Kastam ke dalam perkhidmatan, kita dapat melaksanakan pemeriksaan dengan lebih teliti di pintu masuk negara, khususnya di KLIA.

"Pada masa yang sama, kita juga mendapati jumlah ketibaan pengembara semakin meningkat berbanding kebiasaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di KLIA Terminal 1, di sini hari ini.

AKPS yang menjaga pintu masuk, pemakluman akan diperoleh dari Kementerian Luar negara berkenaan berhubung ketibaan pegawai mahupun ketua kerajaan atau ketua negeri.

AKPS hanya bertanggungjawab keluar dan masuk delegasi di KLIA Terminal 1 sahaja dan ia tidak membabitkan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang meskipun terdapat ketibaan di lapangan terbang itu.

Masyarakat diharap agar tidak keliru dengan peranan AKPS yang menjaga pintu masuk negara susulan isu keselamatan berada bawah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 akan bermula dengan mesyuarat peringkat menteri yang dijadualkan pada 24 dan 25 Oktober, sebelum sidang kemuncak pada 26 hingga 28 Oktober melibatkan ketua negara ASEAN serta pemimpin negara rakan dialog.

Selain pemimpin ASEAN, lebih 20 pemimpin dunia dijadual menghadiri sidang kemuncak itu termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump; Perdana Menteri China, Li Qiang; Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva; Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa; Presiden Kesatuan Eropah, Antonio Costa dan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi.

‎Untuk rekod, ini adalah kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sejak penubuhan blok serantau itu pada 1967 selepas 2015, 2005, 1997 dan 1977.

Filipina akan mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN daripada Malaysia pada 2026.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI