fb fb fb fb fb

Pelatih, pelajar MARA perlu dipersiapkan dengan ilmu keusahawanan

(FOTO FAIL)

KOTA BHARU, 16 April - Pelatih atau pelajar institusi pengajian Majlis Amanah Rakyat (MARA) perlu dipersiapkan dengan ilmu keusahawanan supaya tidak terlalu bergantung kepada peluang pekerjaan yang diwujudkan kerajaan mahu pun swasta pada masa akan datang.
 
Langkah tersebut bagi memastikan mereka mampu mencipta sendiri pekerjaan menerusi pendekatan lebih kreatif dan inovatif.
 
Gesaan itu dibuat Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki agar mereka memanfaatkan sebaiknya kepesatan kemajuan dunia teknologi hari ini sebagai landasan terbaik ke arah mencapai matlamat tersebut.
 
"Dengan teknologi maklumat, media sosial yang meluas, saya kira ini adalah satu peluang, bila mereka dilatih dengan pelbagai kemahiran TVET mereka juga diberikan pendedahan dalam konteks keusahawanan, mereka kena kreatif dan inovatif dalam mendepani cabaran zaman dengan mencipta peluang-peluang pekerjaan ini," kata beliau ketika ditemui media pada Majlis KHATAM Al-Quran MARA Prihatin: Cakna Komuniti MARA Kelantan, di sini hari ini.


(Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ditemu bual media pada Majlis KHATAM Al-Quran
MARA Prihatin: Cakna Komuniti MARA Kelantan di Kota Bharu)

Mengulas lanjut, Asyraf berkata modul dan kurikulum di 280 agensi atau institusi pengajian milik MARA yang melatih TVET sentiasa dinamik dan mengikut peredaran zaman selain memenuhi keperluan industri.
 
Sementara itu, beliau turut memaklumkan MARA akan menjalin kerjasama strategik bersama agensi berkaitan supaya peranan yang dimainkan mampu dioptimumkan.
 
Ia terutama melibatkan aspek pendanaan agar tidak hanya bergantung kepada dana dari kerajaan sahaja.

Media Baharu