SHAH ALAM, 20 Mac – Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) menyambut baik keputusan Kerajaan untuk melaksanakan pelarasan harga beras putih dan memuji langkah proaktif Kerajaan MADANI dalam menangani kos sara hidup rakyat.
Selaras dengan pengumuman Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu semalam, BERNAS mulai hari ini telah melaksanakan pelarasan harga jualan Beras Putih Import (BPI) di pintu gudang BERNAS di Semenanjung Malaysia daripada RM3,200 kepada RM3,000 per tan metrik untuk memastikan berlakunya penurunan harga jualan BPI di antara RM2 hingga RM3 bagi setiap kampit 10 kilogram di peringkat runcit.
"Ini membuktikan komitmen BERNAS dalam menjamin ketersediaan produk walaupun trend harga Beras Putih Import (BPI) masih berlegar di paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun lepas.
"BERNAS bergerak seiring dengan pengumuman Kerajaan dan kekal berdedikasi dalam memastikan bekalan beras yang mencukupi dan stabil untuk isi rumah di seluruh negara serta turut memuji langkah intervensi Kerajaan dalam meningkatkan pengedaran beras putih tempatan," kata BERNAS menerusi kenyataan.
BERNAS turut mengulangi pendiriannya untuk terus meyokong dan mendokong agenda keterjaminan makanan serta bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan pemain industri.
"Syarikat mengulangi komitmennya terhadap pelan jangka panjang KPKM, mengutamakan kebajikan pesawah dan mengekalkan kelestarian rantaian bekalan beras di dalam negara," katanya.
Kekal fokus dalam memenuhi obligasi sosialnya, BERNAS mengurus stok penimbal dan beroperasi sebagai pembeli beras terakhir daripada pesawah dengan mengutamakan kepentingan negara walaupun berdepan dengan keadaan pasaran global yang tidak menentu.