KUALA LUMPUR, 15 Mei- Proses pelantikan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) kini berada di peringkat akhir dan dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, seperti mana-mana pelantikan jawatan tinggi dalam sektor awam, ia perlu melalui beberapa peringkat tapisan sebelum diumumkan secara rasmi.
"Calon sebenarnya sudah ada, dan pelantikan perlu melalui proses penilaian seperti yang dilalui jabatan lain seperti Kastam atau SPRM. Pada pandangan saya, ia kini sudah hampir ke peringkat akhir sebelum keputusan dibuat," katanya kepada media selepas menghadiri Program Bicara Figura RISDA.
Jawatan Ketua Pengarah AKPS telah kosong sejak Februari lalu berikutan persaraan Datuk Seri Hazani Ghazali.
Tambah beliau, AKPS dijangka akan mula beroperasi sepenuhnya bulan depan dan bakal diletakkan di bawah pemantauan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai langkah memperkukuh integriti dalam usaha mengawal keselamatan sempadan negara.
Terdahulu, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan melancarkan inisiatif Budaya Kerja Berprestasi Tinggi (High Performance Culture, HPC), sempena Program Bicara Figura RISDA 2025 yang berlangsung di Ibu Pejabat RISDA, Kuala Lumpur.
Inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada komitmen menyokong Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA).