fb fb fb fb fb

Pelancong Malaysia di Turkiye dinasihat sentiasa bawa pasport, beri kerjasama kepada pihak berkuasa

ISTANBUL, 17 September- Warganegara Malaysia yang melancong di Turkiye, terutamanya di Istanbul, dinasihatkan supaya sentiasa membawa dokumen pengenalan diri yang sah dan mengemukakannya kepada pihak berkuasa Turkiye sekiranya diminta.

Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul Turkiye, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir berkata, pelancong dari Malaysia turut disarankan untuk mengambil insurans perjalanan bagi mengelakkan sebarang kesulitan di luar negara sekiranya ditimpa sebarang perkara yang tidak diingini.

"Bandar Istanbul, Turkiye merupakan destinasi popular pelancong Malaysia dengan jumlah sebanyak 90,000 orang pada tahun 2022 (pasca-pandemik) dan 114,000 orang pada tahun 2019 (pra-pandemik),"katanya.

Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir berkata demikian selepas menerima sumbangan bantuan Ibnu Sabil daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebanyak RM5,000 daripada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail baru-baru ini.

Penyerahan tersebut disempurnakan baginda di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul di Arnavutköy ketika singgah bagi mengetuai delegasi Jelajah Ilmu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ke beberapa buah negara Baltik sebagai Canselor UniMAP.

Turut berangkat adalah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil; dan anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Turut hadir ialah isteri Konsul Jeneral Malaysia; Noor Lily Mohamed Zaidel; Konsul, Mardhiah Muhamad Sabri; dan Konsul (Pentadbiran / Konsular), Lukman Sayuti.

Inisiatif Ibnu Sabil merupakan sumbangan murni oleh pihak MAIPs kepada beberapa buah Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia terpilih di luar negara untuk digunakan bagi membantu warganegara Malaysia yang mengalami masalah dan kesusahan ketika berada di perantauan.


(Penyerahan sumbangan bantuan Ibnu Sabil oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail)

Media Baharu