SEPANG, 5 Disember- Pelancong asing yang tiba di Malaysia diwajibkan untuk mengisi Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC) menjelang 1 Januari 2024.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata ia juga tertakluk kepada pelancong yang sudah memasuki negara ketika ini dan arahan tersebut perlu dipatuhi serta merta.
Saifuddin bagaimanapun menambah, kelonggaran diberikan kepada mereka yang baru tiba untuk berbuat demikian sehingga 31 Disember ini, selepas mengambil kira pelaksanaan yang masih baru itu.
"Pengisian MDAC itu adalah satu kemestian yang mereka mesti penuhi. Maklumat mereka dalam MDAC itu, memberi kita maklumat yang penting seumpamanya seperti keberadaan mereka dalam negara dan lokasi penempatan mereka.
Ini adalah langkah penting untuk kita ketahui dan bagi urusan keberadaan mereka di sini," kata Saifuddin dalam sidang media selepas mengadakan tinjauan 14 kaunter tambahan baharu Imigresen dan melihat proses Pelan Liberalisasi Visa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.
Hadir sama pada sesi tinjauan itu Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh.
Jelas Saifuddin, penggunaan sistem baharu MDAC bertujuan untuk melonjakkan sektor pelancongan supaya tidak dirumitkan melalui proses visa.