KUALA LUMPUR, 25 November - Skuad Ihsan MADANI di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dilancarkan hari ini bagi memperkukuh kesiapsiagaan bantuan kemanusiaan menghadapi Monsun Timur Laut dan musim banjir.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, berkata skuad itu berperanan sebagai pasukan mobilisasi segera bagi menyampaikan bantuan di lapangan, termasuk sokongan psikososial dan pengurusan pusat pemindahan.
"Skuad Ihsan ini akan merangka perancangan, diselaraskan dan dihantar ke negeri terlibat. Dengan tabung sedia ada, sumbangan rakyat Malaysia akan dimanfaatkan untuk membantu mangsa-mangsa banjir," katanya.
Bagi memperkasa operasi skuad tersebut, beliau mencadangkan JAKIM menggerakkan Tabung Musa’adah Bencana bersama Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) bagi mengumpul sumbangan sebelum diagihkan melalui Skuad Ihsan MADANI.
Dalam majlis sama, buku “Islam Mekar Bersama Malaysia MADANI” turut diperkenalkan, mendokumentasikan pencapaian agensi agama sepanjang tiga tahun Transformasi Al-Falah.
Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama 2023–2027 memberi fokus kepada pembaharuan, kelestarian, dan penambahbaikan, dengan peruntukan meningkat kepada RM2.6 bilion tahun hadapan.
Bagi 2026, tiga tumpuan utama termasuk adaptasi tadbir urus berasaskan AI, peningkatan kesejahteraan pendidik dan pendakwah, serta pemerkasaan kewangan sosial Islam melalui wakaf, infaq dan zakat korporat.