KUALA LUMPUR, 9 Disember-Pelan Transformasi Al-Falah diperkenalkan sebagai pendekatan strategik untuk meningkatkan keberkesanan fungsi 14 agensi agama di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, menyatakan bahawa pelan ini berlandaskan lima teras utama, iaitu Pentadbiran Islam Mampan, Kesejahteraan Insan, Kemuliaan Syariah, Kepimpinan Berdaya Cipta, dan Kehormatan Institusi Islam.
"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memainkan peranan penting sebagai peneraju pengurusan hal ehwal Islam dan kesejahteraan masyarakat Malaysia MADANI dalam memastikan kesucian akidah, pembangunan ummah, serta mengangkat martabat umat Islam di negara ini.
"Usaha ini dilaksanakan secara sistematik dan menyeluruh untuk memenuhi keperluan masyarakat Islam, selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan," katanya di Parlimen.
Menurut Mohd Na’im, beberapa usaha tambahan turut diberi perhatian untuk memperkukuhkan pelaksanaan Pelan Transformasi Al-Falah.
Ini termasuk memperluaskan kerjasama strategik rentas agensi, jabatan, serta kementerian; memperkemas pengurusan komunikasi; mempertingkat pembangunan modal insan; dan menjalankan kajian berkaitan isu-isu akidah.
Dalam pada itu, dewan turut dimaklumkan; sebanyak 38 skim bantuan disediakan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam usaha membantu golongan gelandangan di Kuala Lumpur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, antara skim tersebut termasuklah penempatan serta peluang pekerjaan bagi golongan tersebut
"Dan juga usaha-usaha untuk membawa golongan gelandangan supaya mereka ini dapat keluar daripada kepompong kemiskinan dan boleh dibawa untuk mencari pekerjaan.
"Melalui usaha MAIWP ini, saya percaya golongan gelandangan di Kuala lumpur dapat dikurangkan dan dibantu khususnya sudut penempatan mereka", katanya di sini.