fb fb fb fb fb

Pelan tindakan industri penjagaan diteliti sebelum dibawa ke jemaah menteri

Datuk Seri Dr Noraini Ahmad

PUTRAJAYA, 14 Jun- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memperhalusi draf awal Pelan Tindakan Industri Penjagaan di Malaysia sebelum dibawa ke peringkat Jemaah Menteri untuk persetujuan sebelum dilaksanakan semua pihak berkaitan kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Draf yang dihasilkan daripada penganjuran Makmal Pembangunan Pelan Tindakan Industri Penjagaan di Malaysia itu menggariskan enam isu utama yang diketengahkan peserta antaranya daripada agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Pihak kami juga mengenal pasti enam isu utama berkaitan industri penjagaan yang akan memberi perhatian menyeluruh seperti keperluan mewujudkan ekosistem industri penjagaan yang komprehensif, penawaran dan permintaan penjaga profesional.

"...jurang kepakaran dalam industri, impak ekonomi penjaga profesional, perundangan dan polisi serta insentif kepada pemain industri," katanya dalam ucapan perasmian penutup Makmal Pembangunan Pelan Tindakan Industri Penjagaan di Malaysia di sini.

Berdasarkan kepada dapatan daripada makmal Pembangunan Pelan Tindakan Industri Penjagaan di Malaysia telah bermula pada 13 Mei lalu dan berkahir hari ini, KPWKM menganggarkan keperluan penjaga yang berkemahiran di negara ini adalah seramai 22,000 orang menjelang 2030.

Bagaimanapun KPWKM mengalu-alukan kerjasama semua pihak untuk tampil dan berganding bahu dengan kementerian itu bagi memberikan latihan yang berkualiti kepada penjaga mengikut kurikulum yang ditetapkan.

"Susulan daripada pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung Ekonomi Penjagaan, KPWKM komited untuk mengiktiraf mereka yang melaksanakan aktiviti penjagaan warga emas, kanak-kanak dan OKU (orang kurang upaya) sebagai satu profesion yang boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI