(Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof)
KUALA LUMPUR, 18 September- Pelan Tindakan Biojisim Negara 2023-2030 dijangka dilancarkan sebelum akhir tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ini selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyasarkan untuk meningkatkan penghasilan biotenaga.
Inisiatif berkenaan akan menggunakan pelet biojisim sawit yang akan diadun bersama arang batu di loji janakuasa arang batu.
"Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bersama-sama inisiatif pihak swasta juga akan menggalakkan penubuhan hab pengumpulan biojisim di seluruh negara bagi mengoptimumkan penggunaan sumber biojisim.
"Hab ini kelak akan berfungsi sebagai Pusat Sehentian (OSC) untuk mengumpul sisa biojisim sawit. Bahan mentah biojisim yang dikumpul akan diproses dan diedarkan untuk digunakan dalam pelbagai sektor seperti baja bio, makanan haiwan, penjanaan tenaga, pulpa, kertas dan produk nilai tambah yang lain", katanya di persidangan Dewan Rakyat.
Malah konsep berkenaan katanya, bakal menjadi tonggak baharu dalam pembangunan industri biojisim di Malaysia.
(Foto hiasan)