SHAH ALAM, 18 November- Pelan risiko dan bahaya cerun membabitkan jalan-jalan bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) dijangka siap, tahun depan.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor Ir Izham Hashim berkata, kaedah itu memudahkan agensi berkaitan memantau serta mengenal pasti kawasan-kawasan cerun yang hampir runtuh.
"Dengan pelan ini kita dapat mengenalpasti kemungkinan tinggi untuk kawasan-kawasan cerun kemungkinan runtuh. Ini bertujuan memudahkan dari segi pemantauan.
"Pada masa sama Pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menyediakan peta bahaya dan risiko untuk Selangor bagi kawasan-kawasan yang tidak melibatkan jalan dan kawasan tanah tinggi iaitu di Hulu Selangor, Gombak dan daerah Hulu Langat," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan ADUN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri berhubung langkah Kerajaan Negeri menangani masalah tanah runtuh dalam Sidang Dewan Negeri Selangor, di sini.