fb fb fb fb fb

Pelan Rekalibrasi PATI dilanjutkan hingga Disember tahun ini

PUTRAJAYA, 10 Januari- Kerajaan bersetuju melanjutkan pelaksanaan Pelan Rekalibrasi PATI khusus untuk Program Rekablirasi Tenaga Kerja sehingga Disember tahun ini.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail program yang ditamatkan pada Disember tahun lalu itu mampu menyediakan keperluan tenaga kerja dalam kalangan pekerja asing yang sedia ada di negara ini.

Beliau berkata menerusi pelaksanaanya tahun lalu, kerajaan berjaya memperolehi pulangan hasil sebanyak RM700 juta.


(Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail)

"Kita buat saluran ini, mereka tampil dan kemudiannya membuat bayaran dan kemudian dibenarkan bekerja. Ini akan mempercepatkan lagi.

"Kedua, caj kita kenakan kepada mereka, rekalibrasi untuk sepanjang tahun lepas menjana RM700 juta pendapatan kerajaan", katanya dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Khas Pengurusan Pekerja Asing yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya.

"Sektor pekerjaan terisi, dokumen tidak lengkap, kita permudahkan dan sektor yang memerlukan pekerja mendapat pekerja kita dapat kenal pasti, kerana adanya rekod dan kemudian kerana kita kenakan bayaran itu menjana pendapatan kerajaan", katanya.

Jelasnya, perbezaan pelaksanaanya kali ini menetapkan syarat-syarat yang lebih fleksibel tanpa mengenepikan elemen keselamatan dalam negara.

Tambahnya program Rekalibrasi itu turut terpakai kepada sektor perkhidmatan khusus bagi pembantu rumah yang bekerja dan tinggal lebih masa di negara ini.

Pelan Rekalibrasi PATI yang dilaksanakan sehingga 31 Disember 2022, menyaksikan seramai 418,649 orang PATI menyertai Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan 295,425 orang PATI bagi Program Rekalibrasi Pulang.

Media Baharu