fb fb fb fb fb

Pelan Perak Sejahtera 2030 selari dengan dasar kerajaan

IPOH, 22 Mei- Tiada keperluan untuk meminda Pelan Perak Sejahtera 2030 yang dirangka dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memacu pembangunan sosioekonomi yang seimbang.

Pelan itu bertepatan serta selari dengan dasar kerajaan baharu, Malaysia Madani.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, lapan keperluan digariskan Malaysia Madani iaitu Ekonomi, Kewangan, Perundangan, Pendidikan, Kemasyarakatan, Kebudayaan, Bandar dan Luar Bandar adalah saling melengkapi dengan lima keperluan di bawah Perak Sejahtera 2030 iaitu keterjaminan makanan, pemilikan rumah, peluang pekerjaan yang berkualiti, pembangunan modal insan dan belia serta kesihatan dan kesejahteraan.

"Pelan Perak Sejahtera 2030 yang bersifat dinamik akan sentiasa ditambah baik bagi mengikut keperluan dan senario semasa sekali gus menyokong segala usaha yang telah dirancang di peringkat persekutuan," katanya dalam sesi pertanyaan lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Ipoh.

Pelan Perak Sejahtera 2030 kini berada di atas landasan yang betul dengan pertumbuhan pelaburan tinggi, penyediaan peluang pekerjaan dan keterjaminan sekuriti makanan.

Kerajaan negeri ketika ini berjaya menarik pelaburan yang menyediakan peluang pekerjaan tinggi antaranya menerusi pelaburan RM32 bilion bagi pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim.

Selain itu pembinaan kilang baharu di Silver Valley Technology Park (SVTP) di Chemor serta pembinaan kilang pembuat komponen elektrik dan elektronik, XP Power Pte Ltd di Seri Iskandar.

(Saarani Mohamad)

Media Baharu