(Jenazah pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Awang Askandar Ampuan Yaacub
,56 dibawa turun ke Kathmandu hari ini)
KUALA LUMPUR, 22 Mei - Usaha membawa turun jenazah Allahyarham Leftenan Kolonel Awang Askandar Ampuan Yaacub, 55, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Kedah dari Everest Base Camp ke Kathmandu akan dilakukan dengan menggunakan helikopter pada hari ini.
Kementerian Luar Negeri melalui kenyataan berkata usaha itu akan dilakukan sekiranya operasi membawa turun jenazah dari Camp 4 berjalan seperti dijadualkan.
Selain itu, pihak berkuasa tempatan sedang mengesan seorang lagi peserta Misi Malaysia Everest 2023 (ME 2023) yang hilang, Muhammad Hawari Hashim.
"Usaha SAR (mencari dan menyelamat) udara telah dijalankan semenjak 20 Mei 2023, namun masih tidak berjaya mengesan mangsa.
"Proses mencari dan menyelamat kini diteruskan dengan SAR darat di kawasan lurah-lurah ais bermula dari 21 Mei 2023, " menurut kenyataan Wisma Putra hari ini.
Kenyataan sama memaklumkan pihak kementerian menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu akan terus menghulurkan bantuan konsular sewajarnya bagi memastikan proses membawa pulang jenazah dan misi SAR berjalan lancar.
"Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, " tambah kenyataan itu.
(Pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023) Orang Kurang Upaya (OKU)
pendengaran, Muhammad Hawari Hashim)
Allahyarham Awang Askandar adalah Ketua APM, Kedah berasal dari Sabah.
Pada 19 Mei lalu, arwah dikatakan terjatuh ketika berada pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut dan hanya 20 minit pendakian memisahkan arwah dengan puncak Everest.
Difahamkan, arwah dilaporkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 pagi waktu Nepal iaitu sekitar 12.45 tengah hari waktu Malaysia.
BERITA BERKAITAN
Insiden ragut nyawa pendaki negara di Everest satu iktibar
Wisma Putra sahkan kematian dan kehilangan pendaki Gunung Everest
Pengarah APM Kedah meninggal dunia di Everest