SUBANG JAYA, 24 Oktober - Penyediaan Pelan Pendidikan Tinggi 2026-2035 diyakini mampu memberi impak besar terhadap landskap pendidikan tinggi negara, sekali gus memanfaatkan kepelbagaian kepakaran warga akademia.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, ke arah itu ia bakal melalui perubahan besar dan melibatkan lebih 8,000 ahli akademik dan sarjana tempatan.
"Sistem Pendidikan Tinggi Negara memerlukan anjakan dan perubahan. Saya berterima kasih kepada kalangan para sarjana, ahli akademik kita yang sungguh-sungguh memastikan supaya anjakan besar untuk sistem pendidikan tinggi negara ini dapat dilakukan untuk tempoh 10 tahun akan datang.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Profesor Datuk Dr Asma Ismail bersama dengan kumpulannnya yang melibatkan pembabitan hampir 8,000 orang kesemuanya sehingga menghasilkan sebuah dasar yang baru atau rangka tindakan (blueprint) untuk pendidikan tinggi negara bagi tahun 2026 sampai 2035," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dan merasmikan majlis Anugerah Akademik Negara ke-16 di sini hari ini.
Perubahan yang dilaksanakan di peringkat pendidikan tinggi mampu memberikan impak besar sekali gus memenuhi keperluan semasa, terutamanya dalam aspek pedagogi, kokurikulum dan pendekatan pembelajaran masa kini.
"Saya harapkan ia akan memberi impak yang besar kerana pendidikan tinggi sekarang sudah berubah. Sistem yang kita pakai sebelum ini tidak lagi dapat digunakan pada hari ini khususnya dalam konteks pedagogi, kokurikulum dan lain-lain," katanya.
Peranan ahli akademik pula dilihat akan terus menyokong dunia akademik dengan idea bernas dan sesuai dengan tuntutan pendidikan semasa yang mempunyai peranan besar membentuk manusia.