KUALA LUMPUR, 24 Oktober -Komuniti antarabangsa kini berdepan cabaran besar untuk mencari penyelesaian tuntas terhadap konflik di Gaza.
Penyelidik Bersekutu Institut Kajian Pembangunan (Sabah), Ariff Adi Putera Anwar berkata, dunia kekurangan pilihan realistik dalam menangani isu berkenaan, walaupun tekanan semakin meningkat terhadap rejim Israel.
“Buat masa sekarang, apa yang tersedia hanyalah pilihan sedia ada.
Namun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat mengambil pendirian tegas untuk terus bertahan dan menolak sebarang tekanan selagi boleh, sehingga wujud satu penyelesaian yang benar-benar adil dan menghormati Palestin sebagai sebuah negara berdaulat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui RTM selepas menjadi tetamu Grandstand ASEAN di Angkasapuri Kota Media, di sini, hari ini.
Katanya, pelan damai yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dilihat gagal memahami realiti di lapangan apabila lebih menekankan kepentingan wilayah dan pemilikan tanah berbanding keadilan kemanusiaan.
“Pendekatan itu agak memaksa, seolah-olah cuba menyelesaikan konflik hanya dengan menetapkan sempadan tanpa mempertimbangkan hak dan maruah rakyat Palestin secara menyeluruh,” katanya.
Tambah beliau, kesan peperangan bukan sekadar kehilangan nyawa dan kemusnahan infrastruktur, tetapi turut menghancurkan ekosistem, ekonomi serta masa depan generasi muda di Gaza.
Menurutnya, dunia perlu melihat isu ini melangkaui sempadan politik.
Ia merupakan krisis kemanusiaan yang memerlukan pelan pemulihan jangka panjang melibatkan bantuan antarabangsa, diplomasi aktif dan reformasi keselamatan serantau.
"Blok serantau seperti ASEAN juga boleh memainkan peranan penting sebagai suara kolektif bagi memastikan isu Palestin terus menjadi agenda global dan tidak tenggelam dalam percaturan kuasa besar dunia.
Konflik ini bukan sekadar perang wilayah, tetapi perjuangan mempertahankan kemanusiaan. Hanya dengan komitmen bersama dan tekanan diplomatik berterusan, kita boleh menghentikan kitaran penindasan ini,” katanya.