fb fb fb fb fb

Banjir di tujuh daerah di Kedah semakin buruk

Banjir di tujuh daerah di Kedah semakin buruk /BERNAMA

KULIM, 24 Oktober- Banjir yang melanda tujuh daerah di Kedah semakin buruk dengan jumlah penduduk yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terus meningkat kepada 1007 orang berbanding 910 orang petang tadi.

Setakat pukul 4 petang tadi satu lagi PPS dibuka di daerah Kulim menjadikan lapan pusat pemidahan diaktifkan bagi menempatkan 311 keluarga yang terjejas.

Seketariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah menerusi kenyataan memaklumkan, PPS terbaharu dibuka di Surau Kampung Padang Meha, di daerah  Kulim menempatkan 97 orang daripada 16 keluarga.

Selain itu, PPS Sekolah Menengah Agama Isaniah Jangkang mencatatkan jumlah penduduk terjejas tertinggi dengan 423 orang daripada 118 keluarga, diikuti Sekolah Kebangsaan Pagar Museh 199 orang daripada 67 keluarga.

Manakala PPS Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan SJK© Khi Min menempatkan 104 orang dari 37 keluarga, PPS Surau Taman Sang Kancil, (98),  Dewan Orang Ramai Sungai Karangan (22) dan PPS Dewan Surau Kampung Paya Tok Betok, dengan (12) orang.

Kawasan yang terjejas melibatkan sembilan buah kampung iaitu Kampung Seberang Sungai, Kampung Paya Tok Betok, Kampung Seberang Jaya, Kampung Kemuting dan Kampung Banggol Penyengat, Kampung Manggis, Kampung Baru, Kampung Sungai Karangan dan Kampung Kuala Benut.

Sementara itu satu PPS turut dibuka PPS di daerah Kuala Muda iaitu di Sekolah Jenis Kebangsaan SJK (C) Chong Cheng Tanjung dari Kampung Huma yang terjejas akibat kejadian ombak besar.

Daerah-daerah lain yang dilanda banjir termasuk Sik, Pendang, Bandar Baharu, Baling dan Kubang Pasu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat JKM Kedah Zakaria Taib ketika dihubungi RTM berkata, bekalan keperluan asas di PPS setakat ini mencukupi.

SITI NOORAIN ABDULLAH