KUALA LUMPUR, 11 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua agensi dan kementerian agar mempercepatkan pelaksanaan segala perancangan yang diumum kerajaan antaranya Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Jelas Anwar, pendekatan dan kerangka yang jelas dapat menarik minat pelabur asing ke Malaysia, sekali gus membawa manfaat besar kepada rakyat.
"Sebab itu kita perkenalkan NIMP 2030, tenaga, digital, semikonduktor... pelan-pelan ini membantu memberi kefahaman kepada pelabur asing dan menyebabkan mereka lebih terkesan serta tertarik (ke Malaysia).
"(Bagaimanapun) ujiannya adalah kepada kekuatan dan kesediaan jabatan kita, kementerian dan agensi kita," katanya dalam ucaptama pada majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2024 di sini malam ini.
Perdana Menteri berkata, Malaysia memerlukan pelbagai penekanan dan pendekatan baharu bagi memastikan negara berdaya saing, bersifat inklusif dan menarik golongan muda.
Sementara itu, kerajaan juga bertanggungjawab untuk membina kekuatan dalaman dengan memberi penekanan terhadap menyemarakkan industri tempatan.
Ketika pelaburan asing telah berkembang baik serta aspek perdagangan adalah menarik, keperluan pelabur adalah mengenal pasti kekuatan industri tempatan.
"Apabila kita sebut mengenai pelaburan dalam bidang industri atau digital, tenaga dan AI (kecerdasan buatan), untuk mempercepatkan proses kelulusan pelabur mestilah dengan rangkaian bersama industri tempatan," katanya.
Anwar berkata, menerusi perbincangan dalam mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN), kerajaan turut memberikan perhatian mengenai keluhan serta usul yang dikemukakan oleh industri tempatan.
"Kita bukan hidup dalam ruang selesa yang saya sebut sebagai budaya bersikap puas hati. Dalam mesyuarat, kita melihat apakah kekurangan dan kelemahan kita, apakah yang harus kita lakukan untuk perbaiki, apa lagi yang kita dengar daripada industri dan pelabur yang harus kita teliti semula dan perbaiki," kata beliau.
Perdana Menteri menegaskan bahawa negara telah mencapai pelbagai kemajuan tetapi masih tidak menyamai kekuatan negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Vietnam yang bersaing rapat dengan Malaysia.
"Kita tidak lagi di ruang selesa. Kita gunakan, manfaatkan waktu kita untuk melakukan perbandingan dan melihat apa yang istimewa dan kekuatan yang ada pada (negara) jiran kita, yang bersaing dengan kita dan kita kenal pasti masalah itu dan kita tekankan kepada keperluan perubahan," katanya.