fb fb fb fb fb

Pelan Hala Tuju Bebas Jerebu, panduan kukuh usaha serantau

ASEAN bebas jerebu rentas sempadan menjelang 2030.

LANGKAWI, 3 September - Malaysia komited melaksanakan Pelan Hala Tuju Bebas Jerebu ASEAN 2023 - 2030 sebagai panduan utama dalam memperkukuh usaha serantau ke arah ASEAN bebas jerebu rentas sempadan menjelang 2030.

Agenda tersebut ditekankan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa ke-20 (COM-20) di bawah Persidangan Pihak-Pihak kepada Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan (AATHP) yang dipengerusikan oleh Malaysia melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

NRES dalam satu kenyataan memaklumkan, pelaksanaanya penting bagi memastikan tindakan negara anggota lebih terarah, terkoordinasi termasuk dalam aspek kesiapsiagaan menghadapi kebakaran hutan dan tanah gambut, serta pengurusan lestari sumber alam.

"Menerusi pencegahan menyeluruh, komitmen semua negara ASEAN akan memperketatkan penguatkuasaan undang-undang berkaitan pembakaran terbuka, pemantauan berterusan di kawasan berisiko kebakaran hutan dan tanah gambut, pelaksanaan amalan guna tanah mampan di peringkat tempatan dan serantau".

Mesyuarat selama 2 hari di Langkawi bermula hari ini turut akan membincangkan Bajet Kawalan Pencemaran Jerebu Merentasi Sempada ASEAN, meliputi status sumbangan dan penggunaannya, di samping kemajuan serantau dalam pelaksanaan AATHP.

ASEAN juga menyatakan sokongan dan kerjasama antarabangsa dengan mendapatkan kepakaran teknikal dan teknologi moden, termasuk satelit beresolusi tinggi serta perkongsian pengalaman terbaik (best practices) dalam pencegahan jerebu.

Trainee