fb fb fb fb fb

Pelan dasar OKU berkaitan 15 bidang giat dilaksanakan

(FOTO FAIL)

KUALA LUMPUR, 23 September - Pelan strategi di bawah dasar Orang Kurang Upaya (OKU) dalam 15 bidang sedang giat dilaksanakan bagi memastikan golongan itu mendapat kesaksamaan hak dan peluang bagi penyertaan penuh dalam masyarakat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata antaranya berkaitan advokasi, kesihatan, pemulihan, aksesibiliti, pendidikan, pekerjaan dan penyelidikan.

(Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM),
Datuk Seri Nancy Shukri / FOTO FAIL)

“Rancangan kementerian saya untuk tahun ini termasuk menjalankan dua kajian mengenai OKU, khususnya mengenai peluang pekerjaan untuk OKU dan sistem sokongan untuk penjaga OKU.

“Program yang dijangka bermula tahun depan ini akan membolehkan penjaga terbabit menjadikan tugas itu sebagai kerjaya dan bukan lagi sekadar sukarela dengan Institut Sosial Malaysia dan akan menjadi agensi utama bagi membantu kementerian memberikan kursus dan latihan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis Anugerah Pencapaian Kecemerlangan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) 2021/2022, di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Jabatan Pembangunan OKU di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Zuhami Omar.

Tambah Nancy berdasarkan data JKM pada Julai lalu, seramai 663,650 OKU telah berdafftar di negara ini dengan 57,043 daripadanya dalam kategori OKU penglihatan.

Dari segi pekerjaan, Nancy berkata terdapat 0.31 peratus atau hampir 3,800 OKU telah dilantik ke pelbagai jawatan dalam perkhidmatan awam sehingga akhir tahun lepas.

Media Baharu