fb fb fb fb fb

Aktiviti seleweng LPG tumpas

KUALA LUMPUR, 23 September - Satu aktiviti penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) atau decanting berjaya ditumpaskan sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Putrajaya dalam serbuan ke atas sebuah premis tanpa nombor di Kampung Baru Subang, Shah Alam, Selangor pada 20 September 2023 lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam dalam satu kenyataan berkata, serbuan dilakukan bermula kira-kira pukul 1.30 petang itu adalah hasil risikan yang dilakukan beberapa hari sebelum operasi dilancarkan.

Tiada individu ditemui semasa serbuan itu.

"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis tersebut telah menemui beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pemindahan gas petroleum cecair (LPG) daripada tong LPG berkapasiti 12 kilogram dan 14 kilogram bersubsidi kepada tong LPG berkapasiti 50kg tidak bersubsidi.

"LPG 50 kilogram itu seterusnya dipercayai akan dijual semula kepada pihak industri dengan harga lebih rendah berbanding harga sebenar pasaran," kata Azman Adam.

(FOTO FAIL)

Beberapa unit tong gas kosong dan berisi pelbagai jenama berkapasiti 12 kilogram , 14 kilogram dan 50 kilogram, alat timbang, set alat compressor, hos penyambung serta beberapa dokumen perniagaan lain yang turut ditemui telah disita bagi siasatan lanjut.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM28,380.

Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini akan dibuat bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta mengenal pasti rantaian pengedaran LPG terbabit termasuk sumbernyai diperolehi dan diedarkan.

Media Baharu