LAHAD DATU, 20 Oktober - Keselamatan dan kedaulatan Malaysia di Sabah diperkukuh menerusi perancangan Angkatan Masa Hadapan bagi tempoh lima tahun, bermula tahun depan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata antara perancangan di bawah pelan itu termasuk menambah jumlah batalion di dua briged di negeri berkenaan serta menubuhkan satu rejimen artileri baharu.
“Ini bermakna dua batalion dari Semenanjung akan dipindahkan ke Sabah," katanya selepas meninjau Pos Tanduo, di sini.
"Menjaga keselamatan dan kedaulatan itu sangat penting dan atas sebab itulah lawatan dilakukan di lapangan untuk memastikan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk berhadapan dengan apa sahaja ancaman yang mungkin dihadapi,” tegasnya.
Menurutnya, satu rejimen artileri 155mm akan ditubuhkan berikutan ketika ini hanya terdapat rejimen 105mm di Sabah.
Beliau turut mengumumkan peningkatan jumlah radar pesisiran pantai kepada empat unit berbanding dua ketika ini, dengan dua daripadanya akan ditempatkan di kawasan Ops Pasir termasuk Lahad Datu.
Dalam usaha meningkatkan keselamatan perairan, Kementerian Pertahanan sedang memperoleh pangkalan laut bergerak di Semporna bagi menggantikan Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah yang akan tamat tempoh penggunaannya tahun depan.
“Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kesiapsiagaan ATM, malah memberi impak positif kepada kestabilan ekonomi dan pelancongan Sabah,” tambahnya, merujuk kepada kehadiran kira-kira 1.7 juta pelancong ke negeri itu setakat ini.