fb fb fb fb fb

Pelampung gelongsor jatuh, pengurusan taman tema bakal dipanggil

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin / Foto RTM

SEKINCHAN, 2 Februari-Kerajaan Selangor akan memanggil pihak pengurusan sebuah taman tema di Shah Alam dalam masa terdekat berikutan kejadian seorang pengunjung cedera tertimpa pelampung permainan gelongsor air kaca yang terjatuh.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, pertemuan tersebut bagi menjawab beberapa persoalan berbangkit membabitkan isu keselamatan sebelum tarikan terbaharu taman tema itu dibenarkan beroperasi semula.

"Kita sudah hentikan dulu, kalau ada keperluan untuk kita kenakan kompaun dan sebagainya.

"Kita hentikan dulu kerana aspek keselamatan jadi keutamaan dan selepas itu kita akan panggil pihak terbabit untuk mereka menjawab beberapa persoalan kalau mereka hantar permohonan dan sebagainya. Kita akan proses sebagaimana biasa", katanya demikian elepas menghadiri Sambutan Perayaan Thaipongal Peringkat Negeri Selangor di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai insiden pelampung permainan gelongsor air kaca setinggi 60 meter dan sepanjang 600 meter di Menara SkyCity, i-City dipercayai terjatuh dan menimpa pengunjung.

Majlis Bandaraya Shah Alam menerusi satu kenyataan mengesahkan mengeluarkan sembilan notis terhadap taman tema berkenaan membabitkan tiga notis amaran pada 14 November 2024 dan satu notis amaran, 19 Januari lalu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD