KUALA LUMPUR, 30 November- Pelaksanaan Sekatan Jalan Raya (SJR) yang dilaksanakan di seluruh negara tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan ditetapkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata tindakan dan siasatan akan dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) terhadap anggotanya yang menyalahgunakan kuasa ketika bertugas semasa SJR.
"PDRM mempunyai SOP dan garis panduan yang mesti dipatuhi oleh anggota semasa menjalankan tugas dalam SJR, berdasarkan arahan tetap ketua polis negara daripada segi aturan yang telah dilatih kepada pegawai.
"Selain itu, kita juga ada arahan pengarah jabatan siasatan penguatkuasaan trafik dalam konteks yang sama iaitu arahan pentadbiran yang juga menjadi garis panduan kepada anggota kita untuk melaksanakan SJR di mana-mana tempat," katanya ketika menjawab soalan tambahan dibangkitkan wakil Labis, Pang Hok Liong di Dewan Rakyat di sini.
Shamsul Anuar menjawab soalan mengenai tindakan yang boleh dikenakan terhadap mana-mana anggota polis yang didapati tidak mematuhi SOP semasa melaksanakan SJR.