KUALA LUMPUR, 16 Disember - Pelaksanaan Sekatan Jalan Raya (SJR) adalah berlandaskan peruntukan undang-undang dan garis panduan operasi yang jelas, bagi memastikan ketenteraman awam serta mencegah dan mengesan perlakuan jenayah.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan Seksyen 26 Akta Polis 1967 memberi kuasa kepada pegawai polis untuk mendirikan sekatan di jalan awam atau tempat awam, selaras dengan usaha penguatkuasaan undang-undang.
Menurut beliau, pelaksanaan SJR tertakluk kepada Perintah Tetap Ketua Polis Negara A113 (PTKPN A113) yang menetapkan lokasi sekatan hendaklah strategik, selamat serta tidak menyebabkan kesesakan lalu lintas.
“Sekatan Jalan Raya (SJR) yang diadakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan satu langkah untuk memelihara dan mengekalkan undang-undang, ketenteraman awam serta mencegah atau mengesan sebarang bentuk perlakuan jenayah", katanya di Dewan Negara.
Beliau menjelaskan, PTKPN A113 turut menetapkan SJR tidak boleh didirikan di lokasi yang sama secara berterusan dan perlu mempunyai ruang mencukupi bagi pemeriksaan kenderaan, selain dikendalikan sekurang-kurangnya empat pegawai rendah polis.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) turut mengeluarkan Arahan Pengarah JSPT No. 26 yang memperincikan lokasi sesuai bagi pelaksanaan SJR, antaranya di jalan lurus dengan jarak penglihatan minimum 300 meter, kawasan terang serta tidak berhampiran hospital, sekolah atau persimpangan sibuk.
Menurut beliau, kawasan selepas plaza tol dikenal pasti sebagai antara lokasi sesuai bagi SJR kerana memenuhi ciri keselamatan ditetapkan, namun sekatan akan disuraikan sekiranya berlaku kesesakan yang teruk.
Beliau turut menegaskan bahawa PDRM tidak pernah melaksanakan SJR di lokasi hospital yang boleh menghalang laluan pesakit, pelawat, ambulans atau kenderaan kecemasan dan petugas akan memberi laluan khas sekiranya melibatkan jentera kecemasan.
Mengulas kritikan orang ramai, beliau mengakui SJR boleh menimbulkan rasa tidak selesa, namun menegaskan anggota polis perlu menjalankan tugas dengan disiplin tinggi, tegas dan bertimbang rasa.