fb fb fb fb fb

Infrastruktur digital negara diperkukuh menerusi JENDELA Fasa 2, SALAM

FOTO BERNAMA

PUTRAJAYA, 16 Disember - Infrastruktur digital negara akan terus diperkukuh menerusi beberapa ikhtiar utama yang dijadualkan dilaksanakan mulai tahun hadapan, termasuk Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2 dan projek Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM).

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata inisiatif berkenaan amat signifikan dalam usaha merapatkan jurang digital serta memastikan peluasan capaian internet yang lebih menyeluruh di seluruh negara.

“Seperti yang diumumkan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2026, selain menyiapkan projek Point of Presence (POP), kerajaan akan memulakan pelaksanaan JENDELA Fasa 2 yang akan membantu memastikan liputan internet di kira-kira 2,700 lokasi di seluruh negara, termasuk kawasan yang sebelum ini langsung tiada capaian internet.

“Kita juga akan memulakan pembinaan Kabel Dasar Laut MADANI yang menghubungkan Sedili di Johor ke Kuching, Bintulu, Kudat, Sandakan dan Tawau. Ini akan membantu mengukuhkan hubungan antara Semenanjung serta Sabah dan Sarawak dari segi capaian internet. Ia merupakan satu usaha besar sebagai legasi untuk generasi akan datang dan bagi merapatkan hubungan dalam keluarga besar yang kita namakan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi November dan Disember 2025 di Putrajaya.

Dalam perkembangan lain, Datuk Fahmi berkata kerajaan turut memberi perhatian kepada sektor ekonomi kreatif yang disifatkan mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Ekonomi kreatif semakin rancak, dengan MyCreative Ventures dan FINAS antara agensi yang memainkan peranan penting. Sektor ini menghasilkan pelbagai produk tempatan termasuk lagu, filem dan kandungan kreatif lain yang bukan sahaja menarik minat pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia, malah berpotensi dibawa ke pasaran luar negara.

“Festival dan platform yang ada juga membuka peluang untuk filem tempatan menembusi pasaran baharu, khususnya dalam ekosistem ekonomi kreatif rantau Asia Tenggara,” katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE