fb fb fb fb fb

Pelaksanaan projek kecil, perlu disegerakan - PM

FOTO BERNAMA

PUTRAJAYA, 13 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua agensi supaya menyegerakan semua pelaksanaan projek-projek kecil.

Beliau yang juga merangkap Menteri Kewangan, melahirkan ketidakpuasan terhadap proses pelaksanaan projek di daerah yang membabitkan baik pulih infrastruktur.

Langkah itu bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan tempoh masa pemulihan dan mendapat manfaat sebaiknya.

Pada November 2022, kerajaan telah mengumumkan semua sekolah dan klinik daif harus diperbaiki dan diselesaikan tahun ini, namun pelaksanaan itu tidak memuaskan terutama di peringkat bawah membabitkan pejabat daerah.

"Semua sekolah dan klinik daif harus diperbaiki segera supaya diselesaikan tahun ini. Saya nak pastikan peruntukan itu disalurkan segera. Keduanya, kita ada kekangan kerana di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR), kita ambil masa kerana mereka dibebani dengan ribuan projek tambahan.

Jadi, saya berbincang dengan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi untuk kecualikan perkara ini dari tugas JKR dan serah kepada jabatan yang berkaitan terutamanya di peringkat pegawai daerah," kata Anwar dalam ucapannya pagi ini pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, di sini.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Perhimpunan Bulanan
Kementerian Kewangan pagi tadi di Putrajaya/BERNAMA)

Tambahnya, langkah mempercepatkan proses itu adalah wajar selagi mana ia tidak menyalahi prosedur kewangan.

"Sekolah yang tidak ada tandas, tidak boleh tunggu dua tahun.Kalau ada bumbung sekolah yang bocor, itu tidak boleh tunggu.Kena ada langkah segera.

Betul kita ada beberapa peraturan kewangan yang mesti dipatuhi tetapi kita cuba percepatkan asalkan jangan curi wang,jangan amik imbuhan, saya tidak ada masalah," jelas Anwar lagi.

Semalam, beliau mengarahkan projek infrastruktur kecil seperti baik pulih sekolah dan klinik daif di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) dipindahkan kepada jabatan lain atau pejabat daerah.

Sehubungan itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua pegawai daerah pada minggu depan supaya mereka dapat menjalankan tugas pelaksanaan terbabit.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berharap Kementerian Kewangan menjadi contoh dan melepasi tahap terbaik kepada semua.

Ia bagi memastikan Kementerian itu memberi ruang kepada semua peringkat, baik peringkat atasan mahupun bawahan menyuarakan pandangan.

"Untuk pastikan perkara ini dipantau, perjumpaan minggu ini atau minggu depan, semua jabatan dan agensi harus berikan minit, saya nak tengok sebagai satu contoh minit mesyuarat itu kepada KSP dan saya nak KSP sampaikan kepada saya," ujar Anwar.

Media Baharu