fb fb fb fb fb

Pelaksanaan Peruntukan Deeming elak platform digital terlepas undang-undang

Foto BERNAMA


KUALA NERUS, 17 Disember - Pelaksanaan Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mampu memastikan platform digital yang beroperasi di negara ini mematuhi keperluan pelesenan menerusi akta terbabit.

Ketua Kluster Penyelidikan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Madya Dr Azwa Abdul Aziz berkata, pendekatan itu juga bagi memastikan tiada platform terlepas daripada tanggungjawab undang-undang, terutamanya dalam menangani isu kandungan berbahaya, penipuan dalam talian dan penyebaran berita palsu.

Tambah beliau, pelaksanaannya juga dilihat selari dengan amalan antarabangsa, termasuk di United Kingdom dan Eropah, yang mempunyai rangka kerja keselamatan digital tersendiri.

Ia bertujuan memastikan platform terbabit bertanggungjawab terhadap kandungan yang disediakan.

"Saya fikir perkara paling penting adalah berdasarkan kepada pendidikan dan sebagainya. Ekonomi juga terkesan daripada berita palsu.

"Saya percaya dengan adanya akta, kita dapat mengawal berita palsu dan seterusnya memberi kesan dari sudut pembangunan ekonomi.

"Cuma bagi saya, terdapat dua perkara yang perlu seimbang. Salah satunya tentu sahaja keselamatan. Yang lain adalah kita juga perlu seimbang dari segi penguatkuasaan yang lebih adil," katanya.

Peruntukan itu juga membolehkan undang-undang diambil secara langsung terhadap platform yang gagal mematuhi peraturan, termasuk dalam kes melibatkan penipuan dan maklumat palsu.

Pensyarah Kanan Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa, Dr. Hussin Yusry Zawaai pula memaklumkan, tiada perubahan ketara terhadap cara penggunaan platform kepada pengguna.

Sebaliknya, penyedia perkhidmatan diwajibkan mematuhi peraturan serta bekerjasama dengan pihak berkuasa.

"Kalau sebelum ini, semua platform media sosial ini kita kata bebas, maksudnya tiada tindakan apa-apa sekiranya melanggar undang-undang.

"Jadi bila penguatkuasaan pada 1 Januari Ini, mana-mana platform media sosial yang ada unsur negatif akan dikenakan tindakan undang-undang, jadi secara automatiknya memberi manfaat kepada kana-kanak," katanya.

WAN ROSMA BT RAMLI