KUALA LUMPUR, 10 Februari - Institusi Pengajian Tinggi (IPT) diingatkan supaya mempunyai kapasiti untuk menampung bilangan pelajar yang hadir secara fizikal dan sentiasa mematuhi SOP pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang ketat.
Ia susulan keputusan kerajaan membenarkan kemasukan pelajar ke kampus bermula 1 Mac ini.
KPT dalam kenyataan hari ini berkata, pelaksanaan PdP secara hibrid atau secara dalam talian adalah dibenarkan tertakluk kepada keputusan pihak IPT sendiri.
"Keputusan ini dibuat bagi memberi fleksibiliti kepada IPT dalam menentukan mod pembelajaran yang sesuai, selain memberi peluang kepada para pelajar untuk mengenali dan menyesuaikan diri dengan sistem pembelajaran dan kehidupan dalam kampus," menurut kenyatan itu.
KPT turut memberi jaminan aspek keselamatan dan kesihatan menjadi keutamaan dalam proses kemasukan dan keberadaan pelajar di kampus.
"Pelajar yang pulang ke kampus juga diminta untuk terus mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa mengamalkan kebersihan diri. Semua aktiviti sukan dan riadah perlu mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.
Untuk pertanyaan lanjut, pelajar dan ibu bapa boleh menghubungi Bilik Gerakan COVID-19 KPT di talian 03-88706777/6949/6623/6628, melayari laman web IPT atau menghubungi pegawai penyelaras di IPT masing-masing.