KUALA LUMPUR, 10 Februari - Institusi Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu sentiasa berusaha dalam merapatkan jurang ekosistem TVET, pada masa hadapan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata institusi terlibat perlu mendedahkan pelajar dengan penggunaan teknologi terkini.
Langkah memperkasa TVET perlu dipergiat bagi menarik minat generasi muda, terutamanya pelajar lepasan SPM. Ia temasuk meningkatkan kualiti program melalui akreditasi, pengiktirafan dan pensijilan Program TVET.
"Dalam hubungan ini, Hab Kerjasama TVET akan berfungsi sebagai platform untuk pertukaran kepakaran dan teknologi antara institusi TVET dan industri. Untuk mencapai sasaran kemasukan sekurang-kurangnya 55 peratus daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke program TVET seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), akreditasi, pengiktirafan dan pensijilan program TVET perlu ditambah baik.
"Pendedahan perlu diberikan kepada pelajar kita bermula dari usia yang sangat muda untuk memaklumkan kepada mereka manfaat pendidikan TVET serta banyak potensi laluan kerjaya ", katanya dalam ucaptama Siri Webinar Matlamat Pembangunan Mampan secara maya.
Tambahnya, sistem penarafan institusi TVET juga akan diperkenal berdasarkan pelbagai komponen merangkumi kebolehpasaran, tahap gaji graduan, pembabitan industri dan pelaksanaan inisiatif sosial di kawasan luar bandar.
Terdahulu, Kerajaan memperakui penubuhan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri (GITC) sebagai platform membangun modal insan negara khusus berkait keperluan tenaga kerja berkemahiran.