KUALA LUMPUR, 29 Julai - Projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa kedua akan dilaksana mulai September ini, melibatkan hampir 3,000 tapak di seluruh negara.
Jelas Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, pelaksanaan fasa kedua akan menggunakan pendekatan hibrid, tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pembinaan menara komunikasi konvensional.
Sebaliknya, struktur monopol setinggi 30 meter akan digunakan mengikut kesesuaian dan keperluan kawasan, bagi mempercepatkan tempoh pelaksanaan.
"Bagi fasa dua kita tidak berhasrat membina menara semata-mata kerana kawasan yang memerlukan liputan mungkin tidak memerlukan menara 76 -60 meter, mungkin monopol 30 meter penyelesaian yang lebih hibrid jadi masa pelaksanaan itu mungkin lebih pantas," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien, yang ingin mengetahui bilakah liputan internet 4G dan 5G akan diperluas ke kawasan Julau, terutamanya sekolah-sekolah luar bandar yang masih menghadapi masalah capaian internet.
Datuk Fahmi turut memaklumkan bahawa pihak kerajaan telah menyeru syarikat telekomunikasi yang mempunyai capaian lemah untuk segera mengambil langkah pembaikan.
Usaha ini penting bagi memastikan capaian internet yang stabil dan berkualiti, terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar .