fb fb fb fb fb

Kempen "TRAXXfm Love Yourself" masuk tahun ke-10 fokus kesihatan warga RTM

Kempen 'TRAXXfm Love Yourself'

KUALA LUMPUR, 29 Julai - Bagi mengekalkan tahap kesihatan dan kesejahteraan secara menyeluruh, Radio TRAXXfm menganjurkan kempen 'TRAXXfm Love Yourself' bersama Pusat Darah Negara, sebagai satu inisiatif untuk membantu menampung kekurangan bekalan darah di negara ini.

Menurut Penolong Pengurus Traxxfm, Hanihafiza Yacob, program tersebut bukan sekadar rutin tahunan, malah merupakan satu bentuk komitmen berterusan RTM dalam menyokong kesejahteraan dan pembentukan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kerja RTM.

“Traxx FM Love Yourself ini merupakan acara tahunan dan sudah masuk kali ke-10. Setiap tahun mungkin aktivitinya kelihatan sama, tetapi kami tampilkan kelainan melalui kolaborasi bersama pelbagai agensi seperti Kementerian Kesihatan, Pusat Darah Negara dan juga pihak Universiti Teknologi Malaysia (UTM),” ujar beliau.

Tambah beliau, selain menderma darah, TRAXXfm turut menyediakan saringan kesihatan secara percuma, termasuk menyemak kandungan gula dan kolesterol dalam darah, tekanan darah, ukuran indeks jisim tubuh badan (BMI), saringan Kanser Serviks (HPV), pemeriksaan klinikal kanser payudara, saringan kesihatan mental dan pemeriksaan diabetes.

Sementara itu, Penerbit TRAXXfm, Norbaizura Baharudin menyifatkan,kempen tersebut sebagai platform terbaik dalam menggalakkan penjagaan kesihatan holistik, termasuk aspek fizikal dan emosi, khususnya dalam kalangan warga kerja dalam bidang penyiaran yang sentiasa sibuk.

“Dalam bidang penyiaran, kita bukan sahaja perlu sihat secara fizikal tetapi juga emosi. Kami berharap kempen ini memberi kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan mental dan fizikal,” katanya.

Pihak penganjur menyasarkan sekurang-kurangnya 60 hingga 80 penderma darah bagi tahun ini dengan harapan dapat membantu memenuhi keperluan bekalan darah di Pusat Darah Negara.

Warga RTM perlu sentiasa cakna dan mengambil inisiatif menyayangi diri sendiri, sejajar dengan tagline 'Traxxfm Love Yourself', sekali gus dapat menyemai kesedaran tentang kepentingan kesihatan fizikal dan mental, serta menggalakkan lebih ramai warga RTM untuk turut serta demi kesejahteraan bersama.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN