KUALA LUMPUR, 29 Julai- Seramai 100 peserta terlibat dalam perjalanan rohani merentas negara menerusi program "Al-Quran Di Mana-Mana: Tilawah & Tadabbur" anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata program itu membawa misi pembacaan dan tadabbur al-Quran tanpa henti dari KL Sentral ke Padang Besar menaiki tren elektrik (ETS), seterusnya ke Hatyai, Thailand sehingga khatam.
"Di samping menjadi usaha promosi, program ini turut dilaksanakan bagi menyampaikan mesej kepada umat Islam bahawa mengisi masa terluang dengan membaca al-Quran amat digalakkan. Selain itu, menepis tanggapan bahawa membaca al-Quran hanya boleh dilakukan di masjid atau dalam keadaan yang formal.
Hakikatnya, tadabbur al-Quran boleh dilakukan di mana-mana sahaja, termasuk di dalam kenderaan. Walaupun ada yang berasa segan melakukannya di tempat awam, sifat malu itu perlu diatasi demi membudayakan bacaan al-Quran dalam kehidupan seharian," kata Datuk Dr. Sirajuddin kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, sepanjang perjalanan, pelbagai pengisian rohani seperti bacaan al-Quran, sesi ibrah dan edaran naskah al-Quran turut dijalankan di dalam tren dan lokasi komuniti Islam terpilih.
Datuk Dr. Sirajuddin berharap program tersebut menjadi pemangkin kepada budaya membaca dan menghayati al-Quran secara meluas, bukan hanya di majlis rasmi, tetapi dalam kehidupan harian masyarakat Islam.