fb fb fb fb fb

Perkasa pendidikan abad ke-21: Murid teroka kaedah lebih holistik dan berimpak tinggi

Foto RTM

DAMANSARA, 29 Julai - Dalam usaha memperkasa pendidikan abad ke-21, Sekolah Kebangsaan Damansara Utama tampil dengan inisiatif pembelajaran berasaskan projek melalui Pesta Menuai bagi memberi pendedahan awal kepada murid mengenai proses pertanian serta nilai kerjasama antara komuniti.

Menurut Guru Besarnya, Mohammad Izaham Mohammad Noor, pelaksanaan Project-Based Learning tersebut selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan(KPM) yang mahu memberi peluang kepada murid untuk meneroka kaedah pembelajaran lebih holistik dan berimpak tinggi.

“Dengan pendekatan ini, murid dapat melihat projek daripada mula hingga selesai. Pengalaman itu akan mereka ingat sepanjang hayat, berbeza dengan hanya belajar melalui buku atau teori,” ujar beliau kepada media selepas Majlis projek Pesta Menuai Showcase Urban Bendang Innovators di reruai penanaman padi Sekolah Kebangsaan Damansara Utama, hari ini.

Selain itu, projek tersebut juga memberi ruang kepada murid mengenali dan menghargai usaha petani serta memahami pentingnya makanan asas seperti beras yang menjadi simbol perpaduan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

“Semua kaum di negara ini makan nasi. Padi dan beras melambangkan perpaduan. Melalui projek ini, murid lebih menghargai makanan dan usaha di sebaliknya,” katanya.

Projek tersebut turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Utama, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Tambah beliau, kolaborasi tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada murid, malah menjadi platform pembelajaran baharu buat guru-guru yang turut mempelajari aspek teknikal pertanian seperti kesihatan tanaman dan kitaran padi.

Guru Besar itu turut memaklumkan, pihak sekolah bercadang untuk memperluaskan lagi skop projek tersebut ke tahap lebih tinggi pada musim akan datang.

“Kita tidak mahu kekal di tahap ini sahaja. Kita akan lihat bagaimana untuk bawa program ini ke tahap seterusnya, supaya impaknya lebih luas,” kata beliau.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN