fb fb fb fb fb

Pelajar USAS maut kereta terbabas, terbakar

Bapa mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan melanggar pokok sehingga menyebabkan kereta berkenaan terbakar/Foto Ihsan Bomba

RAUB, 13 April - Seorang pelajar wanita Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) maut selepas kereta Proton Saga yang dinaiki terbabas dan terbakar di Jalan Ulu Gali – Jelu di Raub, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, mangsa, Nurul Izati Yunus, 23 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah malam itu terdapat empat orang termasuk pemandu menaiki kenderaan berkenaan. 

"Hasil siasatan awal, kereta dipandu bapa mangsa yang berusia 66 tahun dari arah Kampung Lechar dalam perjalanan menuju ke Petaling Jaya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas memasuki ke kanan jalan dan melanggar pokok sebelum terbakar," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ujar beliau, akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa iaitu penumpang hadapan telah terperangkap di dalam kenderaan. 

Jelasnya, bapa mangsa cuba menarik keluar mangsa yang terperangkap namun tidak sempat. 

Beliau berkata bapa mangsa seorang pesara, Yunus Hassan, 66, mengalami cedera ringan, isterinya, Ainar Ibrahim, 61, (cedera di bahagian kaki) manakala abang mangsa, Muhammad Nazmi Yunus, 29, mengalami cedera di leher dan kesemuanya dihantar ke Hospital Raub untuk rawatan. 

Mohd Shahril memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

GRACE AISYAH KEDAYAN