fb fb fb fb fb

Latihan pra perkhidmatan PISMP, tangani isu kekurangan guru

Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengambil inisiatif memperluaskan pengambilan calon guru tajaan kementerian itu bagi mengikuti latihan pra perkhidmatan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) mulai ambilan tahun ini / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 13 April - Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengambil inisiatif memperluaskan pengambilan calon guru tajaan kementerian itu bagi mengikuti latihan pra perkhidmatan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) mulai ambilan tahun ini.

KPM memaklumkan ia diperluaskan kepada lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Program Matrikulasi.

"Inisiatif itu bagi membuka peluang kepada lebih ramai calon yang berminat menjadi guru untuk memohon kemasukan ke program PISMP," kata KPM menerusi kenyataan.

Selain itu ia juga dapat memastikan calon terbaik dipilih bagi mengikuti program itu.

Inisiatif itu juga membuktikan komitmen berterusan KPM dalam menangani isu kekurangan guru selain memastikan kualiti calon guru terbaik yang dapat menyumbang kepada agenda reformasi pendidikan negara.

Calon yang terpilih akan dilatih di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dalam pelbagai bidang pengkhususan untuk tempoh kursus selama empat tahun.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN