fb fb fb fb fb

Pelajar universiti maut jatuh dari tingkat 34 kondominium

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 27 Disember- Seorang pelajar universiti maut terjatuh dari tingkat 34 sebuah kondominium di Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru malam tadi.

Pelajar berusia 18 tahun itu difahamkan mahu mengambil pakaiannya di balkoni sebelum terjatuh.

Kejadian disahkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya.

Beliau berkata, polis menerima laporan kejadian pada pukul 8.17 malam dan mayat remaja itu ditemukan di tingkat bawah bangunan setinggi 39 tingkat berkenaan.

"Dua saksi kejadian mendakwa remaja terbabit ingin mengambil sehelai baju-T yang terjatuh di kaki lima balkoni.

"Dia dikatakan bertindak memanjat sebuah meja dan kemudian memanjat pagar balkoni. Bagaimanapun, mangsa hilang keseimbangan dan terjatuh ke bawah," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE