fb fb fb fb fb

FELDA mohon JPS kaji punca banjir kilat Felda Kerteh

Pengerusi FELDA, Datuk Seri Shabery menyampaikan bantuan ketika melawat penduduk terjejas banjir di Dewan FELDA Kerteh 4, di sini malam tadi/ BERNAMA

DUNGUN, 27 Disember- Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) memohon supaya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu membuat kajian bagi mengenal pasti punca banjir kilat di gugusan Felda Rasau Kerteh, Ahad lepas.

Pengerusinya, Datuk Seri Shabery Cheek berkata bencana itu berlaku buat kali pertama dalam tempoh lebih 40 tahun sejak tanah rancangan berkenaan dibuka dan ia sememangnya di luar jangkaan serta mengejutkan seluruh penduduk kampung berkenaan.

"Saya difahamkan banjir kilat itu lebih kurang sama seperti insiden kepala air iaitu air yang datang secara mendadak dan surut tidak lama kemudian. Walaupun ia surut dalam masa sekejap, masalah yang timbul ialah kesan kemusnahannya sangat besar.. rumah mereka yang terkesan mungkin dah ‘total lost’. 

"Secara menyeluruh perkara ini perlu dibincangkan bersama JPS bagi melihat kembali sistem perparitan, sungai dan juga tempat takungan yang mungkin telah ditimbus akibat pembangunan sehingga mengakibatkan tiada lagi tempat takungan air," katanya ketika ditemui pada lawatan mangsa banjir di Dewan FELDA kerteh 4, di sini malam tadi.

Dalam pada itu Shabery memaklumkan pihak pengurusan FELDA sedang menguruskan bantuan segera termasuk tilam, makanan dan kelengkapan persekolahan untuk anak-anak Felda yang akan memulakan sesi persekolahan Ahad ini.

Beliau berkata pihaknya telah membuat persiapan awal banjir dengan melancarkan program FELDA Siap Siaga 2023 Oktober lepas, malangnya bencana di gugusan Felda Rasau Kerteh itu adalah sesuatu yang tidak dijangka sama sekali.

"Sekarang ini kita kerah daripada segi bantuan bekalan seperti tilam dan makanan yang amat diperlukan. Saya juga akan tengok soal persekolahan anak-anak, berapa uniform diperlukan kita akan beri segera sebelum buka sekolah," katanya.

Selain gugusan Felda Rasau Kerteh, dua lagi tanah rancangan iaitu Felda Seberang Tayur, Kemaman dan Felda Tenang, Besut turut dilanda banjir.

Ahad lepas penduduk di gugusan Felda Rasau Kerteh dikejutkan dengan kejadian banjir kilat sekitar pukul 4 petang, melibatkan Felda Kerteh 1, Felda Kerteh 4 dan Ketengah Jaya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI