
KUALA LUMPUR, 2 April – Pelajar undang-undang perlu dilatih menjadi penilai etika kecerdasan buatan (AI) bagi mencapai matlamat penguasaan ilmu perundangan menjelang 2030.
- Pelajar undang-undang mesti dilatih sebagai penilai etika AI untuk menguasai ilmu perundangan menjelang 2030.
- Pendidikan undang-undang mesti utamakan kebolehan membuat pertimbangan tepat serta kemahiran teknologi untuk mentafsir data undang-undang.
- Pengamal undang-undang sedia ada perlu menyesuaikan diri supaya sistem perundangan kekal relevan dan mudah diakses orang awam.
Keperluan itu penting khususnya dalam menghadapi lambakan maklumat perundangan yang semakin mudah diakses melalui AI.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menjelang tempoh itu, maklumat undang-undang akan menjadi data terbuka.
Perkembangan itu menuntut sistem pendidikan undang-undang memberi penekanan kepada keupayaan membuat pertimbangan yang tepat dan teliti.
“Pelajar undang-undang perlu dilatih menjadi penilai etika dalam lautan data ini. Peguam masa depan mesti mahir dalam teknologi dan AI, berupaya mentafsir data, serta berpegang kepada prinsip bahawa undang-undang digunakan untuk kebaikan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Commonwealth Legal Education Association (CLEA) 2026 di Universiti Malaya, di sini hari ini.
Menurutnya, perubahan landskap tersebut turut menuntut pengamal undang-undang sedia ada untuk menyesuaikan diri dengan keperluan semasa agar kekal relevan dalam dunia yang semakin dipacu teknologi.
“Perlu diingat bahawa undang-undang memudahkan kehidupan harian rakyat,” katanya.
Tambah beliau, sistem perundangan tidak seharusnya bersifat eksklusif sehingga sukar diakses oleh orang awam.
Malaysia menjadi tuan rumah bagi CLEA 2026 yang berlangsung sehingga esok dengan menghimpunkan kira-kira 350 perwakilan dari seluruh negara Komanwel, termasuk hakim, pengamal undang-undang, ahli akademik, pembuat dasar, dan pelajar undang-undang.
Hadir sama, Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Hakim, Prashant Kumar Misra yang mewakili Ketua Hakim Negara India, Surya Kant.