KUALA LUMPUR, 20 Jun –Bagi memastikan pemahaman menyeluruh konsep halal, pendidikan mengenai ilmu itu perlu disampaikan secara efektif dan berterusan kepada semua segmen masyarakat termasuk golongan mualaf.
Atas kesedaran itu, sekumpulan pelajar tahun kedua Sarjana Muda Syariah dengan pengkhususan dalam Fiqh dan Usul dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) menganjurkan program berkaitan ‘Halcare’ bersama komuniti mualaf di Kepong.
Program dianjurkan bersama pengurusan Masjid Amaniah Kepong, Kuala Lumpur, yang menyediakan lokasi program, selain membantu mendapatkan peserta dari komuniti mualaf setempat.
Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh dan Usul APIUM, Dr. Norhidayah Pauzi, ‘HalCare’ adalah singkatan ‘HalalCare: Awareness and Empowerment’ merupakan sebahagian daripada kursus teras ‘Fiqh al-Halal wa al-Haram fi al-Islam’.
“Program ini merupakan inisiatif khidmat komuniti yang bertujuan untuk memperkukuh pemahaman mengenai aspek halal dan haram dalam pemakanan, pendapatan, dan hubungan sosial terutamanya dalam kalangan komuniti mualaf,” kata Dr. Norhidayah yang juga Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Halal Universiti Malaya (UMHRC).
Salah seorang tenaga pengajar mualaf di Masjid Amaniah, Ustazah Masturina Maryam Wong berkata kebanyakan mualaf yang mengikuti kelas pengajian di masjid berkenaan memiliki pemahaman agak rendah tentang konsep halal dan haram, meskipun telah lama mengikuti pengajian.
“Selain tahap pemahaman yang rendah, mereka juga kurang menerima pendedahan dari aspek persyariatan Islam itu sendiri. Jika mereka diberi pendedahan yang sepatutnya, saya pasti mereka mampu melakukannya,” jelasnya.
“Sebenarnya kelemahan yang dimaksudkan ini boleh dikaitkan dengan dua faktor utama. Pertama, sebahagian besar daripada komuniti mualaf ini kurang lancar berbahasa Melayu, sedangkan kebanyakan kelas dan pengajar menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
“Ini memberikan cabaran tambahan kepada mereka untuk mengikuti kelas pengajian yang disediakan. Kedua, peruntukan masa yang terhad untuk setiap kelas, iaitu hanya dua jam setiap minggu, sebenarnya tidak mencukupi untuk mereka benar-benar memahami dan menjiwai kesemua yang diajar,” terang Dr. Norhidayah.
Program berkenaan bukan sahaja melibatkan ceramah, namun turut melibatkan program lebih interaktif bagi meningkatkan pemahaman peserta mengenai aspek halal dan haram dalam kehidupan seharian.
“Seramai 30 orang peserta dari komuniti mualaf telah menyertai program ‘HalCare’ ini, berumur di antara 20 hingga 70 tahun,” kata Muhd Syafiq Abdul Halim, sukarelawan UM, merangkap setiausaha program.
Selain penerangan, peserta diberi kefahaman mengenai konsep halal dan haram dalam aspek makanan, pendapatan, dan hubungan kekeluargaan, melalui permainan dan sesi soal-jawab yang interaktif, bersama sukarelawan dan juga penceramah jemputan.
Paling menyentuh hati ialah apabila kami melaksanakan aktiviti ‘Bicara Heart to Heart’, memerlukan para peserta berkongsi pengalaman dan cabaran hidup masing-masing setelah bergelar sebagai seorang muslim.
“Saya kagum dengan semangat mereka yang cekal untuk meneruskan kehidupan yang tenang dan bahagia berbekalkan syiar Islam, walaupun dengan pelbagai cabaran yang melanda,” tambah Syafiq.