fb fb fb fb fb

KPDN Kedah serbu premis jual petroleum gas cecair (LPG) tanpa lesen

FOTO KPDN KEDAH

ALOR SETAR, 19 Jun- Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Kedah (KPDN) mengambil tindakan terhadap sebuah premis perniagaan di Pekan Kepala Batas, Jitra kerana menjual barang kawalan petroleum gas cecair (LPG) secara runcit tanpa lesen yang sah.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, hasil daripada aduan orang awam, sepasukan Pegawai Penguat Kuasa KPDN Alor Setar yang melakukan penyamaran telah membuat pemeriksaan di premis berkenaan.

Susulan itu, pasukan serbuan bertindak melakukan uji beli ke atas LPG yang dijual oleh syarikat terbabit bagi mengenal pasti harga jualan sebenar LPG itu.

“Hasil daripada uji beli yang dilakukan mendapati premis tersebut menjual LPG berkapasiti 12 kilogram (kg) dijual pada harga RM25 setong berbanding harga kawalan yang ditetapkan iaitu RM22.80 bagi LPG berkapasiti 12 kg,"katanya.

Pemeriksaan lanjut ke atas premis tersebut turut mendapati lesen bagi menjalankan perniagaan menjual LPG secara runcit telah tamat tempoh pada 28.05.2024.

Peniaga tersebut didapati telah melakukan kesalahan bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menjual LPG secara runcit tanpa lesen yang sah.

“Pasukan serbuan seterusnya bertindak menyita empat tong LPG jenama Petronas dengan nilai rampasan keseluruhan adalah sebanyak RM408.40,"katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) iaitu mana-mana orang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Manakala kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Selain itu, kes tersebut juga disiasat bawah kesalahan Akta Kawalan Harga danAntipencatutan 2011 (Akta 723) kerana menjual barangan harga terkawal melebihi harga yang ditetapkan oleh Pengawal Harga.

KPDN Kedah ingin memberi amaran peniaga agar tidak menjual barang kawalan melebihi daripada harga yang ditetapkan oleh Kerajaan.

Selain daripada itu, mana-mana orang atau pihak yang ingin menjalankan perniagaan melibatkan barang kawalan perlu memohon lesen daripada pihak KPDN bagi mengelak dikenakan tindakan bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE