KEMAMAN, 23 Oktober- Seorang pelajar sebuah sekolah menengah di sini maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan di Kemaman, Terengganu malam tadi.
Kemalangan berlaku di Kilometer 11, Jalan Chukai Air Putih kira-kira jam 8.20 malam tadi berdekatan selekoh Loji Rawatan Air Kampung Sungai Pinang, Kemaman.
Dalam kemalangan itu, mangsa Muhammad Haziq Akif Zulkifli, 14 tahun berasal dari No. 35, Jalan Air Putih, Kampung Batu 5 Binjai Kemaman meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada kepala dan badan.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal berseorangan dari rumahnya menuju ke Air Putih.
Ketika kejadian, kereta dipandu Mohd Khairuddin Hussin dari Air Putih menuju Chukai dan pada masa sama kenderaan pacuan empat roda dipandu Mohd Jonaita Johari dikatakan cuba memotong kereta berkenaan.
Pada masa sama motosikal mangsa dipercayai gagal mengelak lalu bertembung dengan kenderaan empat roda terbabit dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ekoran kemalangan kejadian itu, pacuan empat roda terbabit terbabas ke kanan bahu jalan dan kemudiannya kereta terbabit gagal mengelak dan merempuh belakang 4X4 berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan mengesahkan ada menerima maklumat berhubung kemalangan tersebut.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat dan kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Susulan itu, polis pagi tadi telah mendapatkan perintah Mahkamah Kemaman bagi menahan reman pemandu kenderaan pacuan empat roda terbabit bagi membantu siasatan.