NANNING, 23 Oktober- Forum Media ASEAN-China ke-5 yang bermula pada Isnin di Nanning, China menyasarkan pengukuhan bidang penyiaran negara di peringkat ASEAN.
Pelbagai bentuk kolaborasi dibincangkan oleh negara yang mengambil bahagian termasuk Malaysia.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil, terdapat pelbagai cabang kolaborasi dalam bidang media yang boleh diterokai dengan negara China.
Antaranya, kolaborasi Malaysia dan China dalam ekonomi digital, kecerdasan buatan (artificial intelligence), "big data" serta teknologi baharu lain yang memberi impak yang besar kepada kehidupan.
"Selain itu kerjasama dalam penerbitan filem, animasi, program TV, radio dan digital turut dibincangkan."
"Bagi RTM dan Guangxi Radio and Television, perbincangan telah bermula untuk menerbitkan pelbagai bentuk kandungan sempena sambutan 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China tahun hadapan," kata Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman yang mewakili Fahmi Fadzil di ASEAN-China Media Forum.
Tambah Fahmi, Guangxi Radio & Television akan menyiarkan program-program terbitan RTM tentang seni warisan, sejarah dan pelancongan manakala RTM akan memaparkan kandungan tentang pembangunan lestari, pertanian moden, teknologi baharu berkaitan negara tembok besar itu.