fb fb fb fb fb

MAIWP bantu 10 usahawan asnaf miliki trak mudah alih

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar mencuba sendiri kenderaan yang diserahkan kepada usahawan pada Majlis Pelancaran dan Penyerahan Mobilepreneur Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Menara MAIWP hari ini.


KUALA LUMPUR, 23 Oktober- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyerahkan 10 buah trak mudah alih melalui Program Mobilepreneur MAIWP kepada usahawan asnaf bagi mengubah status sosioekonomi mereka selaras hasrat kerajaan membendung kemiskinan tegar di Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar berkata setiap usahawan akan dibantu oleh pihak MAIWP bagi bayaran deposit sebuah trak mudah alih sebanyak 30 peratus dari nilai keseluruhan manakala selebihnya pihak Britay Asia Malaysia Sdn Bhd akan memberi pembiayaan tanpa faedah yang akan dibayar oleh usahawan dalam tempoh tiga tahun sebelum menjadi hak miliknya. 

"Melalui program ini asnaf yang terpilih ini akan menjadi usahawan yang berjaya, bekerja keras untuk bangunkan keluarga masing-masing, kalau kita tengok daripada 10 orang penerima 9 adalah perempuan.

"Jadi ini menunjukkan bagaimana kegigihan golongan wanita, mereka juga boleh berjaya,satu hari nanti akan tergolong dalam golongan mereka mereka yang akan membayar zakat,"katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan Majlis Penyerahan Mobilepreneur MAIWP di ibu negara.

Sehingga kini MAIWP mempunyai seramai lebih 20 usahawan trak makanan yang masih aktif dan sebahagian daripada mereka terlibat dengan Pembekalan Makanan Berbungkus di Perumahan Awam, Institusi Pengajian Tinggi, Program Perumahan Rakyat (PPR) dan banyak lagi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE